Gelombang seismik di Bumi Gelombang_P

Halaju gelombang seismik dalam Bumi berbanding kedalaman.[4] Halaju gelombang S yang tidak ketara di teras luar berlaku kerana keadaannya yang cecair, sementara dalam teras dalam yang pejal, halaju gelombang S adalah bukan sifar.

Gelombang-gelombang seismik jenis P dan S dalam Bumi diawasi untuk menyiasat struktur dalaman Bumi. Ketakselanjaran halaju sebagai fungsi kedalaman menandakan perubahan dalam fasa atau kandungan. Perbezaan masa ketibaan gelombang yang berpunca daripada kejadian seismik seperti gempa bumi sebagai kesan gelombang mengambil haluan berbeza-beza membolehkan pemetaan struktur dalaman Bumi.[5][6]

Zon bayang gelombang P

Zon bayang gelombang P (ihsan USGS)

Hampir semua maklumat yang ada tentang struktur dalaman terdalam Bumi diperoleh daripada pemerhatian masa perjalanan, pantulan, pembiasan dan peralihan fasa gelombang jasad seismik, atau ragam-ragam normal. Gelombang jasad ini berjalan melalui lapisan bendalir dalaman Bumi, tetapi gelombang P terbias sedikit apabila melalui peralihan antara mantel separa pejal dan teras luaran yang cair. Natijahnya, wujudnya "zon bayang" gelombang P pada 105–143°[7] dari fokus gempa bumi, di mana gelombang P yang pertama tidak tersukat oleh seismometer. Gelombang S pula tidak berjalan memalui cecair, sebaliknya dilemahkan.

Sebagai amaran gempa bumi

Amaran awal gempa bumi adalah mungkin dengan mengesan gelombang primer bukan pemusnah yang berjalan dengan lebih cepat melalui kerak Bumi daripada gelombang-gelombang pemusnah sekunder dan Rayleigh, sama seperti mana denyaran kilat kelihatan sebelum guruh kedengaran sewaktu ribut. Jurang masa amaran awal bergantung pada beza ketibaan gelombang P dan gelombang pemusnah yang lain, biasanya sekitar beberapa saat hingga 60–90 saat bagi gempa bumi raksasa yang dalam dan berjauhan seperti yang diterima oleh Tokyo sebelum bencana gempa bumi dan tsunami Tōhoku 2011. Keberkesanan amaran awal ini bergantung pada ketepatan mengesan gelombang P sambil menolak getaran bumi hasil kegiatan setempat (seperti lori atau kerja pembinaan), jika tidak terhasil pula amaran 'positif palsu'. Contohnya, sistem QuakeGuard menggunakan teknik ini untuk mengautomatikkan tatacara tindak balas kecemasan untuk mencegah kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.[8]

Rujukan

WikiPedia: Gelombang_P http://books.google.com/?id=T7CKj8bqVlwC&pg=PA179&... http://books.google.com/books?id=7AIPPoWf3KIC&pg=P... http://books.google.com/books?id=PifkAotvTroC&pg=P... http://hypertextbook.com/facts/2001/PamelaSpiegel.... http://www.seismicwarning.com/web/technology/waves... http://bingweb.binghamton.edu/~jbarker/animations.... http://www.eas.purdue.edu/~braile/edumod/waves/Wav... http://earthquake.usgs.gov/learn/topics/seismology... http://earthquake.usgs.gov/learning/glossary.php http://www.phys.uu.nl/~sommer/master/Structure%20a...